Wednesday, August 24, 2011

Sejarah Ayat Kursi

Ayat ini diturunkan setelah Hijrah. Semasa penurunannya, ia telah diiringi oleh beribu-ribu malaikat kerana kehebatan dan kemuliaannya. Syaitan dan iblis juga menjadi gempar kerana adanya satu perintang dalam perjuangan mereka. Rasulullah SAW dengan segera memerintahkan Zaid Ibn Sabit menulis serta menyebarkannya.

Sesiapa yang membaca ayat Kursi dengan khusyuk setiap kali selepas sembahyang fardhu, setiap pagi dan petang, setiap kali keluar masuk rumah atau hendak musafir, insyaAllah akan terpeliharalah dirinya dari sebarang godaan syaitan, kejahatan manusia, binatang buas yang akan memudaratkan dirinya bahkan keluarga, anak-anak, harta bendanya juga akan terpelihara dengan izin Allah SWT.

Mengikut keterangan dari kitab "Asraarul Mufidah", sesiapa yang mengamalkan dan membacanya setiap hari sebanyak 18 kali, maka akan dibukakan dadanya dengan pelbagai hikmah, dimurahkan rezekinya, dinaikkan darjatnya, dan diberikan pengaruh sehingga semua orang akan menghormatinya serta terpelihara ia dari segala bencana dengan izin Allah. Syeikh Abu Abbas ada menerangkan, siapa yang membacanya sebanyak 50 kali lalu ditiupkannya pada air hujan kemudian diminumnya, InsyaAllah akan mencerdaskan akal fikirannya. Antara fadhilat-fadhilat ayat Kursi mengikut Hadis-hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca ayat Kursi, Allah akan hilangkan segala kekafiran di depan matanya."
Orang yang selalu membaca ayat Kursi akan dicintai dan dipelihara Allah sebagaimana Dia memelihara Nabi Muhammad SAW. Mereka yang beramal dengan bacaan ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah daripada gangguan dan hasutan syaitan, sebagaimana dalam sabda Baginda yang bermaksud:
"Umatku yang membaca ayat Kursi 12 kali pada pagi Jumaat, kemudian berwuduk dan sembahyang sunat dua rakaat, Allah memeliharanya daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar-pembesar."
Pengamal ayat Kursi juga, dengan izin Allah, akan terhindar daripada pencerobohan pencuri. Ayat Kursi akan menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki rumah. Mengamalkan bacaan Kursi juga akan memberikan keselamatan dalam perjalanannya. Ayat Kursi yang dibaca dalam penuh khusyuk insyaAllah akan menyebabkan syaitan dan jin terbakar. Jika anda berpindah ke rumah baru, maka pada malam pertama anda menduduki rumah itu, eloklah jika anda membaca ayat Kursi 100 kali. InsyaAllah anda sekeluarga akan terhindar dari gangguan zahir dan batin. Barangsiapa membaca ayat Kursi tempat tidurnya, Allah memerintahkan dua malaikat memeliharanya sehingga subuh.