Thursday, December 10, 2009

SOKONG PROGRAM KOD KHASIAT MAKANAN RINGAN

KUALA LUMPUR: Pengeluar makanan ringan mungkin diminta menggunakan kod warna ala lampu isyarat pada pembungkus makanan berkenaan sebagai perbandingan sama ada ia berkhasiat, kurang berkhasiat atau tidak sesuai langsung untuk dimakan kanak-kanak.

Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) akan mencadangkan kepada kerajaan mengenai penggunaan kod warna berkenaan kerana ia bukan saja mudah difahami oleh kanak-kanak, malah hampir setiap individu.

Ketua Eksekutif Fomca, Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata kod warna berkenaan boleh dianggap kod universal dan mana-mana individu di dunia tahu mengenainya, sekali gus memudahkan setiap pihak di negara ini faham kepentingannya, khasnya kepada kanak-kanak.

“Kod ala lampu isyarat itu mudah difahami iaitu jika berwarna hijau, makanan ringan berkenaan sihat; kuning bermakna sederhana manakala merah menunjukkan makanan mempunyai kandungan gula dan garam yang tinggi, berlemak dan pelbagai lagi.

“Kod warna itu juga mudah dilihat atau disedari kanak-kanak selain ibu bapa, tidak seperti pembungkus sedia ada yang walaupun mempunyai keterangan berkaitan makanan ringan itu tetapi ia kecil, sukar dibaca selain tidak menarik minat golongan sasaran untuk mengambil tahu,” katanya.

Beliau ditemui dalam Kempen Konsumer Kebangsaan (3K) 2008-2012: Generasi Makanan Ringan: Kempen Menghentikan Pemasaran Makanan Tidak Sihat Kepada Kanak-kanak di pasar raya Mega Giant, Kota Damansara, di sini, semalam.

Menurut Mohd Yusof, pihaknya akan mencadangkan penggunaan kod berkenaan kepada kerajaan dalam masa terdekat dan berharap ia dapat dipenuhi demi kepentingan semua pihak.

“Jika ia dipenuhi, pengeluar makanan ringan perlu itu atau tindakan tegas boleh dikenakan jika mereka cuba memperdaya pelanggan dengan menggunakan kod warna mengelirukan.

“Bagaimanapun, setiap makanan ringan yang akan diberi kod warna perlu diperiksa Kementerian Kesihatan untuk menentukan jenis warna perlu digunakan.

Metro Ahad, 15 Mac 2009

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.